Zizan Pengacara Idola Kecil



Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
IBARAT orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah dialami pengacara dan pelakon, Mohd Razizan Abdul Razak atau Zizan apabila ditawarkan mengacarakan program Idola Kecil terbitan TV9.

Zizan yang juga peserta Raja Lawak Astro musim pertama, menyifatkan tawaran itu sebahagian daripada perkembangan karier seni buatnya.

Selepas mengacarakan program Bolos di Astro bakatnya ternyata mendapat perhatian pihak penerbitan TV9 untuk mengendalikan program yang menampilkan bakat nyanyian kanak-kanak bagi musim kedua itu.

Pemuda dari Kuala Terengganu ini berkata tawaran mengacara yang diterima oleh pihak TV9 pada September lalu sesuatu yang cukup dinantikan sebagai meningkatkan satu tahap dalam karier seninya.

“Tugas ini adalah langkah baik buat saya memperkembangkan karier dalam bidang seni. Selain mengacara saya turut berlakon bersama produksi Gitu-Gitu Production, Home Grown dan terbabit dalam program Raja Lawak. Pengacaraan dan lakonan mempunyai perbezaan yang tersendiri. Bagi saya pengacaraan lebih berat berbanding lakonan.

“Pengacaraan lebih sukar kerana memerlukan persediaan yang teliti dan latihan berterusan. Sebagai orang baru, dalam bidang ini saya menganggap setiap pembabitan dalam bidang ini sebagai satu daripada proses untuk belajar dan meningkatkan lagi tahap keyakinan untuk menjadi pengacara yang lebih baik,” katanya.

Pengulas persediaan mengendalikan program kanak-kanak yang disiarkan setiap Sabtu jam 9 malam di TV9 itu, Zizan berkata segala bentuk persediaan dilakukan sebelum mengendalikan sesuatu rancangan.

“Saya banyak melihat program berbentuk kanak-kanak. Saya juga mengkaji bentuk program yang digemari oleh kanak-kanak. Di samping melihat program dan cara pengacara terkenal, Aznil Nawawi mengendali dan melayan telatah kanak-kanak dalam program seperti Tom Tom Bak.

“Alhamdulillah setakat ini penerimaan kanak-kanak ketika mengendalikan program ini agak baik. Mereka menunjukkan kematangan dan berkomunikasi dengan baik ketika rakaman,” katanya.

Tambahnya, pengalaman melalui zaman kanak-kanak dan mempunyai anak saudara juga mengajarnya bagaimana berhadapan dengan kanak-kanak berkenaan.

Dia yang dikatakan mempunyai hubungan intim bersama pelakon muda, Rosliza Rosli atau Leez yang juga bekas belajar Akademi Fantasia musim keempat mengakui masih berkawan rapat dengan gadis itu.

Walaupun belum berfikir untuk membincangkan perkara yang lebih serius namun perkenalan itu sudah setahun yang lalu.

“Memang dia (Leez) rapat dengan saya dan kami sudah berkenalan hampir setahun. Namun kami tidak pernah memikirkan ke arah yang lebih serius,” katanya.

Difahamkan gandingan mereka dalam drama komedi di Astro, Di Bawah Ketiak Isteri arahan Dinesh Sambry dan Mohd Al-Nakhri membuatkan hubungan mereka lebih intim sebagai rakan sekerja.

Harian Metro


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>