Artis Boleh Sertai AF7



Rap
PROGRAM realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) kini membuka lembaran baru dengan meneruskan misi bagi pencarian bakat baru dunia nyanyian.

Selepas enam musim bersiaran dan berjaya menempatkan kedudukannya tersendiri di hati peminat seni tanah air, AF7 turut menampilkan kejutan dan pembaharuan apabila buat pertama kalinya membuka peluang kepada bukan hanya warganegara Malaysia tetapi juga Singapura dan Brunei.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan berkata, pembaharuan itu dilakukan untuk mengukuhkan lagi matlamat dan usaha Astro dalam memberikan hiburan terbaik kepada pelanggannya melalui mutu produksi dan format yang mantap.

Katanya, elemen pembaharuan ini tidak terhenti di situ apabila AF7 turut membuka penyertaan kepada golongan artis tidak kira sama ada dari bidang nyanyian mahupun lakonan untuk turut serta.

“Objektif utama penerbitan AF7 adalah untuk memberikan kelainan dalam kandungan tempatan dan format program di samping komitmen kami dalam mencari dan membimbing bakat baru bagi mewarnai persada seni tempatan.

“Bersesuaian dengan arus peredaran zaman, beberapa elemen pembaharuan dilakukan bagi memberikan saingan yang lebih sengit dalam kalangan peserta.

“Bagaimanapun, kami hanya memberi peluang kepada artis yang tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan,” katanya.

Mengenai langkah Astro turut membuka penyertaan kepada warga Singapura, Khairul menjelaskan, langkah itu dilihat sejajar dengan hasrat Astro Ria yang ingin meluaskan pengaruhnya kepada penonton di Singapura.

Katanya, AF mempunyai peminatnya di negara itu kerana ia boleh ditonton melalui mio TV milik Singtel. Langkah ini membuka peluang kepada Astro Ria terutama AF untuk meraih sokongan yang meluas dari seluruh warga Singapura.

“Penerbitan dan produksi AF7 tidak sabar untuk memulakan penjelajahan uji bakat ke empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak bagi mencari penyanyi yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Nama seperti Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila dan Stacy adalah nama yang pernah merangkul gelaran juara AF musim pertama hingga enam dan kini berjaya menempatkan diri dalam kalangan artis popular berbakat dan mempunyai kualiti tersendiri,” katanya.

Mereka yang ingin bergelar penyanyi, jangan lupa hadir pada sesi uji bakat di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Januari, The Zon Regency Hotel, Johor Bahru (24-25 Januari), Borneo South Atrium, Kota Kinabalu (30-31 Januari), Enter K Entertainment, Crown Square, Kuching (31 Januari dan 1 Februari) dan Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur (7-8 Februari).

Kaunter pendaftaran bagi setiap uji bakat dibuka dari jam 9 pagi hingga 1 petang. Peserta digalakkan hadir awal bagi mengelakkan kesesakan. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) dan menyanyi lagu pilihan secara acapella.

Lagu pilihan untuk peserta wanita ialah No One (Alicia Keys), Kalis Rindu (Elyana), Dikir Puteri (Noraniza Idris), Karma (Cokelat) dan Tari Silat Melayu (Aishah).

Lagu pilihan untuk peserta lelaki, Angan dan Sedar (Mawi), You Raise Me Up (Josh Groban), Ketelusan Hati (Anuar Zain), Hanya Engkau Yang Mampu (Aizat) serta Ada (M Nasir).

Harian Metro


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>